Syarat Perkhidmatan Tambahan Google Drive

Tarikh Kuat Kuasa: 31 Mac 2020 (lihat versi terdahulu)

Untuk menggunakan Google Drive, anda mesti bersetuju untuk menerima (1) Syarat Perkhidmatan Google dan (2) Syarat Perkhidmatan Tambahan Google Drive ini (“Syarat Tambahan Google Drive”).

Sila baca setiap dokumen ini dengan teliti. Bersama-sama, dokumen ini dikenali sebagai “Syarat”. Dokumen ini menetapkan perkara yang boleh anda jangkakan daripada kami semasa anda menggunakan perkhidmatan kami dan perkara yang kami jangkakan daripada anda.

Meskipun bukan sebahagian daripada Syarat ini, kami menggalakkan anda membaca Dasar Privasi kami untuk memahami dengan lebih baik lagi cara anda boleh mengemas kini, mengurus, mengeksport dan memadamkan maklumat anda.

1. Kandungan Anda

Google Drive membenarkan anda memuat naik, menyerahkan, menyimpan, menghantar dan menerima kandungan. Seperti yang diperihalkan dalam Syarat Perkhidmatan Google, kandungan anda tetap menjadi milik anda. Kami tidak menuntut pemilikan dalam mana-mana kandungan anda, termasuk mana-mana teks, data, maklumat dan fail yang anda muat naik, kongsi atau simpan dalam akaun Drive anda. Syarat Perkhidmatan Google memberikan lesen tujuan terhad kepada Google untuk mengendalikan dan meningkatkan perkhidmatan Google Drive — jadi, jika anda memutuskan untuk berkongsi dokumen dengan seseorang atau mahu membuka dokumen itu pada peranti lain, kami boleh menyediakan fungsi itu.

Google Drive juga membenarkan anda bekerjasama pada kandungan pengguna Google Drive yang lain. “Pemilik” kandungan itu ialah orang yang mengawal kandungan dan penggunaan kandungan tersebut.

Tetapan perkongsian di Google Drive membenarkan anda mengawal perkara yang boleh dilakukan dengan kandungan anda di Google Drive oleh orang lain. Tetapan privasi fail anda bergantung pada folder atau drive yang terkandung fail tersebut. Fail dalam pemacu individu anda bersifat tertutup sehingga anda memutuskan untuk berkongsi fail itu. Anda boleh berkongsi kandungan anda dan memindahkan kawalan kandungan anda kepada pengguna lain. Fail yang anda buat atau letakkan dalam folder atau pemacu yang dikongsi oleh orang lain akan mewarisi tetapan perkongsian dan mungkin mewarisi tetapan pemilikan folder atau pemacu yang terkandung fail tersebut. Kami tidak akan berkongsi fail dan data anda dengan orang lain kecuali seperti yang diperihalkan dalam Dasar Privasi kami.

Kami tidak akan menggunakan kandungan anda untuk kempen pemasaran atau promosi.

2. Dasar Program

Kami mungkin menyemak kandungan untuk menentukan sama ada kandungan itu menyalahi undang-undang atau melanggar Dasar Program kami dan kami mungkin mengalih keluar atau enggan memaparkan kandungan yang kami percaya secara munasabahnya melanggar dasar kami atau undang-undang. Akan tetapi, ini tidak semestinya bermaksud bahawa kami menyemak kandungan. Oleh itu jangan beranggapan yang kami melakukan perkara ini.